Koleksi Fatwa & Artikel Terjemahan Zul Yusoff

*KHIDMAT PENTERJEMAHAN * TRANSLATION SERVICE* English - Bahasa Melayu Zul 019 6342017 mohd_zol@yahoo.com

28 July 2007

Posisi Tangan Semasa Solat

Soalan:

Saya ada soalan mengenai dimana tempat meletakkan tangan kita selepas mengangkat takbiratul-ihram dalam solat: Adakah kita mesti meletakkan tangan kita di bawah pusat atau di atasnya atau pada dada kita? Seseorang memberitahu saya yang tidak betul untuk meletakkan tangan di bawah pusat, kerana kita diwajibkan meletakkannnya pada dada. Saya dibesarkan dalam mazhab Hanafi, dan saya diajar sepanjang masa untuk meletakkan tangan saya di bawah pusat semasa bersolat. Sila jelaskan hal ini kepada saya.



Jawapan:

Pertamanya kami ingin tegaskan yang hal ini merupakan hal yang sangat kecil dan Muslimin tidak sepatutnya membiarkan Syaitan memecah-belah mereka kerana hal yang sangat kecil.


Posisi tangan semasa bersolat bukannya salah satu rukun solat kerana mengikut semua ulama, solat dianggap sah tanpa mengira sama ada seseorang meletakkan tangan di atas atau di bawah pusat atau pada dada.

Terdapat pelbagai pendapat mengenai hal ini. Seorang Muslim mesti memilih mana-mana yang menolongnya mengekalkan ketaatan dan khusyuk dalam solat.

Menjawab soalan tersebut, Sheikh Ahmad Kutty, pensyarah kanan dan ulama di Islamic Institute of Toronto, Ontario, Canada, menyatakan:

Tidak perlu untuk berkeras dalam hal ini, kerana amat dibenarkan untuk meletakkan tangan anda sama ada di bawah pusat sebagaimana di ajarkan oleh mazhab Hanafi, atau di atas pusat sebagaimana di ajarkan oleh mazhab Shafi`i. Dibenarkan juga oleh sebahagian pendapat untuk meletakkan tangan pada dada, atau menjatuhkannya ke tepi, sebagaimana dipegang oleh sebahagian ulama mazhab Maliki.

Amat penting bagi kita mengetahui yang perbezaan dikalangan pelbagai mazhab Fiqh atas hal ini bukannya berpunca kepada pendapat pelik-pelik daripada imam-imam atau pengasas pelbagai mazhab itu;tetapi kerana berpunca daripada cara mereka belajar amalan dan perlakuan Rasulullah (SAW) melalui Sahabat baginda sendiri. Dalam kata lain, perbezaan ini berpunca daripada Sahabat Rasulullah (SAW) di mana ajaran mereka para imam itu sampaikan kepada murid-murid.

Ini ialah satu-satunya kesimpulan yang kita dapati jika kita mengkaji perbincangan ulama muktabar yang tergolong daripada pelbagai mazhab dalam hal ini. Contohnya, Imam Ibn Al-Humam, seorang ulama besar mazhab Hanafi, menyebut, “Tiada riwayat sahih terbukti daripada Rasulullah (SAW) mewajibkan kita meletakkan tangan kita sama ada di bawah atau di atas pusat kita dalam maksud yg jelas.” Imam Tirmidhi, pengumpul utama Hadith, menunjukkan terdapat riwayat sahih daripada Sahabat dan pengikut mereka menunjukkan pada masa sebahagian daripada mereka memilih untuk meletakkan tangan di bawah pusat, yang lain memilih meletakkan tangan di atas pusat. Imam Ibn Al-Mundhir juga mengesahkan kenyataan diatas. Terdapat juga riwayat daripada Imam Ahmad yang menunjukkan kedua-dua pandangan, tetapi beliau kelihatan tidak menyukai meletakkan tangan pada dada tetapi cenderung kepada posisi bawah dada.

Kesimpulannya, anda amat dibenarkan untuk terus meletakkan tangan anda dibawah pusat sebagaimana yang telah di ajar oleh guru anda sendiri.

Terjemahan daripada: The Position of Hands in Prayer http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?cid=1119503549700&pagename=IslamOnline-English-Ask_Scholar%2FFatwaE%2FFatwaEAskTheScholar

Penterjemah: zulyusoff http://zulyusoff.blogspot.com

16 July 2007

Doa untuk Mencari Suami Yang Baik

Soalan:

Adakah mana-mana doa untuk mencari suami yang baik?

Jawapan:

Pertamanya, kami dengan sepenuh hati memohon Allah untuk memudahkan perkahwinan bagi anda secepat mungkin. Mengikut Shariah, tiada salah untuk anda berdoa kepada Allah supaya memudahkan anda untuk berkahwin. Salah satu doa daripada al-Qur'an ialah: (Dan di antara mereka ada yang berkata: "Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami daripada azab neraka.") (Al-Baqarah 2:201).

Pentafsir al-Quran menafsirkan yang kebaikan di dunia ini ialah pasangan yang baik. Anda boleh berdoa kepada Allah untuk memberikan anda pasangan yang baik. Jika ada mana-mana individu tertentu yang anda mahu kahwini, maka anda boleh berdoa kepada Allah untuk memberikan anda apa-apa yang baik atau memudahkan hal itu bagi anda jika hal itu benar-benar memberikan kebaikan, sebabnya anda tidak mengetahui hal yang benar-benar baik bagi anda. Rasulullah (SAW) memberitahu kita yang kita mesti memohon kepada Allah dan memohon pertolongan Nya dalam semua hal. Hanya Dia mengetahui semua perkara ghaib dan hanya Dia mempunyai pengetahuan lengkap akan masa depan. Dia berkuasa menjadikan urusan mudah bagi kita dan memimpin kita membuat keputusan. Maka, anda dinasihatkan untuk percaya penuh kepada Allah dan pada masa yang sama memohon Allah untuk mengurniakan anda pasangan yang sesuai dan memudahkan apa-apa yang terbaik bagi anda.

Menjawab soalan anda, Sheikh Ahmad Kutty, pensyarah kanan dan ulama di Islamic Institute of Toronto, Ontario, Canada, menyatakan:

Kita mesti menggunakan sumber-sumber yang Tuhan kurniakan dan berusaha sebaik mungkin sambil berdoa kepada Allah bagi memimpin dan merahmati kita untuk mencapai semua hajat dan cita-cita yang baik. Rasulullah (SAW) bersabda, “Perhatikan dan harapkan perkara yang terbaik (untuk kamu) dan mohonlah pertolongan Allah (sambil membuat usaha yang terbaik) dan jangan mudah putus-asa.” Jika setelah berbuat demikian, hajat anda tidak tercapai, katakanlah “ini ialah takdir Allah.” Dalam kata lain, dengan hanya berdoa tanpa berusaha bersungguh-sungguh ialah bukan cara Islam yang diajarkan oleh Rasulullah (SAW) yang kita cintai. Maka saya menasihatkan anda supaya jangan berhenti berdoa, tetapi semasa berbuat demikian jangan lupa untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai matlamat anda.

Disini ada beberapa cadangan::

1. Mintalah pertolongan mereka yang ada kedudukan (seperti imam-imam, pemimpin masyarakat, orang yang lebih tua yang boleh dipercayai) untuk menolong anda dalam pencarian anda untuk seorang suami yang baik.

2. Cuba untuk mengunakan peluang yang ada dalam masyarakat anda untuk berjumpa calon yang sesuai. Contohnya termasuklah seminar perkahwinan, persidangan, seminar, ceramah, dan perjumpaan.

Semasa berusaha sebaik mungkin, jangan berhenti berdoa kepada Allah untuk mengabulkan hajat anda. Dalam hal ini, anda boleh menggunakan doa-doa yang sesuai atau mencipta doa sendiri; sebab doa boleh diciptakan sendiri dan tiada larangan untuk berdoa untuk perkara-perkara dunia dan akhirat. Saya senaraikan di bawah beberapa doa yang boleh digunakan untuk tujuan ini:

Rabbi inni lima anzalta ilayya min kharyin faqeer.
(Wahai Tuhan ku, aku ini amat mengharapkan kebaikan terhadap apa yang Engkau turunkan kepadaku.)

Allahumma, rahmataka arju fala takilni ila nafsi tarafata `aynin wa aslih li sha’ni kullahu.
(Ya Allah, aku mohon rahmat Mu, jadi jangan tinggalkan daku sesuka hati walau seketika; dan permudahkan semua urusan ku bagi diri ku.)

Allahumma aghnini bi halalika `an haramika wa bi ta`atika `an ma`siyatika wa bi fadlika `amman siwaka
(Ya Allah, jadikanlah aku cukup dengan apa-apa yang Engkau telah jadikan halal untuk ku supaya aku tidak terdesak menuju kepada yang haram; dan jadikan diri ku cukup dengan ketaatan kepada Mu jadi aku tidak terdesak untuk derhaka kpd Mu; dan jadikanlah aku cukup dengan pemberian Mu jadi aku tidak perlu kepada pemberian yang lain.)

Anda boleh membaca doa-doa di atas untuk mencapai matlamat itu pada bila-bila masa, tetapi yang terbaik ialah berdoa selepas dua rakaat Solat Hajat.

Saya berdoa kepada Allah untuk memakbulkan hajat anda.Semoga Dia menerima doa-doa kita dan mengurniakan kita semua yang terbaik untuk dunia dan akhirat. Ameen.


Terjemahan daripada: Du`aa' to Find a Good Husband

http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?cid=1122819230678&pagename=IslamOnline-English-Ask_Scholar%2FFatwaE%2FFatwaEAskTheScholar

Penterjemah: zul yusoff: http://zulyusoff.blogspot.com

12 July 2007

Hukum Bersukan Dalam Islam

Soalan:

Saya ingin mengetahui setakat mana kaitan Islam dengan sukan? Apakah adab dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh seseorang Muslim semasa bersukan?

Jawapan oleh Syeikh`Atiyyah Saqr:

Pertamanya, kami ingin memaklumkan bahawa Islam membenarkan apa-apa yang baik dan bermanfaat kepada manusia. Islam menggalakkan Muslim menjadi kuat dan mencari jalan untuk kuat. Dalam Hadith, Rasulullah (SAW), memerintahkan kita dengan bersabda: “Ajarlah anak-anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda.” Ini ialah seruan jelas untuk bersukan yang menunjukkan Islam letakkan kepentingan bersukan dalam melatih umat Muslim dan menjadikan badan mereka sihat dan cergas. Tidak hairanlah apabila pepatah menyebut: “Minda yang cerdas bermula dari badan yang sihat.”

Sheikh `Atiyyah Saqr, bekas Ketua Jawatankuasa Fatwa Al-Azhar, menghuraikan sukan dan adabnya dengan lebih terperinci dengan menyatakan yang berikut:

“Sejak zaman silam, manusia telah mencipta pelbagai jenis latihan fizikal dan mencipta pelbagai jenis sukan untuk menjadikan badan mereka kuat, dengan setiap jenisnya mempunyai cara-cara dan matlamat tertentu. Satu bangsa yang sebati dengan pergaduhan dan perperangan, sukan seperti angkat berat, memanah dan beladiri menjadi kelaziman, sedangkan berenang menjadi sukan utama bagi orang yang tinggal di tepi pantai laut. Di semenanjung Arab, manusia sukan berburu dan menunggang kuda disebabkan keadaan mereka yang selalu mengembara dan berpindah-randah.

Bagaimana Islam Memandang Sukan?

Islam tidak melarang memiliki badan yang kuat dengan bersukan. Muslim di arahkan supaya memiliki badan yang kuat dan minda yang cerdas disamping memiliki akhlak mulia. Dalam Hadith, kita dapati: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah daripada yang lemah.” (Riwayat Muslim) Badan yang kuat mampu menunaikan kedua-dua tugas agama dan dunia. Islam tidak menerima apa-apa yang mendorong kepada pengabaian tugas itu, kecuali dalam beberapa kes yang beberapa kelonggaran di berikan supaya memudahkan penganutnya.

Kesan Sukan Kepada Badan :

Di dalam kitabnya yang terkenal ‘Zad-Al-Ma`aad’, Imam Ibnul-Qayyem menyatakan pergerakkan ialah asas kepada sukan. Ia menolong badan membuang sisa makanan dengan cara tabii. Ia menjadikan badan aktif, meningkatkan immuniti badan dan melindungi badan daripada penyakit. Setiap organ ada jenis sukan yang sesuai dengannya. Bagi menunggang kuda, memanah, bergusti dan berlumba-lari, merupakan sukan yang memberi manfaat kepada seluruh badan.

Sukan Yang Ada dalam Ibadah Islam :

Dalam Islam, kita melihat banyak ibadah Islam mengandungi sukan yang menolong badan mengekalkan kekuatan fizikal apabila ia di amalkan dengan sempurna. Amalan ibadah Haji, melawat saudara Muslim , melawat yang sakit, pergi dan balik ke masjid dan terlibat dalam aktiviti sosial merupakan aktiviti bersukan.

Adab Bersukan Dalam Islam :

Fakta Islam menggalakkan bersukan menjadikan seseorang sedar betapa besar, fleksibel dan lengkap agama ini yang Allah berikan kepada manusia. Dalam hal ini, Islam menekankan kepentingan latihan spiritual dan moral yang sepatutnya seiringan dengan latihan fizikal supaya mencapai matlamat yang dihajati.


Dalam menyokong pasukan, keganasan wajib dielakkan. Bermegah-megah juga mesti hindari. Menang dalam pertandingan tidak bermakna halal menghina lawan yang kalah. Islam memandang sukan sebagai jalan untuk meningkatkan kasih dan kerjasama antara manusia, bukan jalan melukakan perasaan. Inilah sebab si pemenang tidak sepatutnya terbawa-bawa dengan kegembiraan sampai menghina lawan, dan yang kalah tidak boleh dihantui oleh cemburu terhadap kelebihan pihak lawan. Mereka mesti ingat yang kekalahan hari ini akan membuka jalan untuk kemenangan pada masa depan, jika mereka bersabar dan cuba menambah-baik diri mereka.

Ini mengingatkan kita akan peristiwa apabila seekor unta milik seorang badwi mengalahkan unta betina Rasulullah yang sentiasa menang dalam perlumbaan, Muslim berduka-cita. Mengulas hal itu, Rasulullah (SAW) bersabda: “Allah SWT telah menetapkan tiada apa-apa yang kekal menang (bermaksud setiap situasi ada naik dan turun dan tiada keadaan yang kekal).” Rasulullah (SAW), membuat kenyataan ini untuk mententeramkan perasaan mereka yang rasa kekalahan untanya satu hakikat yang sukar diterima.

Dalam pertandingan, seorang Muslim sejati tidak lupa adab memberikan pihak lawab layanan baik. Mengenepikan adab dalam pertandingan dan perlawanan ialah satu sifat munafik yang Rasulullah (SAW) rujuk apabila bersabda: “Terdapat empat sifat jika ditemui pada seseorang, dia seorang yang betul-betul munafik. Jika salah satunya ditemui pada seseorang, ia memberikan dia satu sifat munafik sampai dia meninggalkannya: jika diamanahkan dengan sesuatu, dia pecah amanah, jika bercakap, dia berbohong, jika berjanji, dia tidak tunaikan dan jika dia bertengkar dengan seseorang, dia melampau-lampau (menggunakan kata-kata kesat dan perbuatan buruk.)”

Panduan untuk Seseorang Muslim Dalam Bersukan:

1-Seseorang Muslim tidak sepatutnya lalai dengan sukan sehingga sampai mendorong meninggalkan tugas-tugas agama dan yang lain.

2- Seseorang Muslim tidak dibenarkan bersikap tidak peduli dalam bersukan dengan cara menimbulkan kecederaan kepada yang lain. Bersukan di atas jalan yang sesak misalnya, boleh menyebabkan kesesakan jalan, ini bukan cara Islam.

3-Perasaan fanatik membabi-buta dalam menyokong atau menentang satu pasukan adalah tiada kaitan dengan Islam, kerana ini benar-benar becanggah dengan ajaran Islam yang menyeru kepada perpaduan dan kasih-sayang.

4- Tidak dibenarkan kata-kata kesat, perbuatan buruk dan fitnah semasa bersukan.

5-Islam tidak membenarkan pertandingan atau permainan yang melibatkan kedua-dua jantina, dengan cara membuka jalan hawa nafsu, syahwat dan keruntuhan akhlak.

6-Islam menolak semua permainan dan sukan yang mendorong rangsangan seksual dan menggalakkan kejatuhan moral seperti wanita berlatih menari dan ditontoni oleh orang ramai.

Lelaki hendaklah mengamalkan sukan yang sesuai dengan sifat mereka dan sebaliknya. Didalam Islam, tidak dibenarkan bagi wanita mengamalkan sukan yang khas untuk lelaki.

Kesimpulannya, sudah jelas yang semasa membenarkan sesuatu sebagai halal, Islam meletakkan beberapa syarat yang bertujuan mengekalkan akhlak dan sesuai dengan matlamat peraturan umum. Sukan hendaklah diamalkan dengan mengikuti syarat-syarat ini supaya boleh mengelakkan sebarang kemudaratan yang tidak dikehendaki. Peraturan umum dalam Shari`ah ialah apa-apa perbuatan yang melampaui batas sama ada dalam makan, minum, berpakaian atau sebagainya, adalah dilarang. Al-Qur’an mengisytiharkan: “Hai orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.”(Al-Ma’idah: 87)”

Terjemahan daripada: Sports: Definition, Etiquette and Ruling

http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?cid=1119503545336&pagename=IslamOnline-English-Ask_Scholar%2FFatwaE%2FFatwaEAskTheScholar

Penterjemah: zulyusoff http://zulyusoff.blogspot.com

Bercita-cita Untuk Melihat Rasulullah Dalam Mimpi.

Soalan:

Saya mendengar jika seseorang Muslim bercita-cita untuk melihat Nabi Muhammad (SAW) dalam mimpinya, dia boleh melihat Baginda. Adakah sebarang kaedah khusus untuk mencapai matlamat ini? Maksud saya, adakah sebarang doa atau sebarang bacaan daripada ayat al- Qur'an atau hadith dengan bertujuan untuk melihat Rasulullah (SAW) semasa sedang tidur?

Jawapan:

Ramai Muslim bercita-cita untuk melihat Nabi kesayangan mereka dalam mimpi. Ini berpunca daripada cinta agung mereka kepada Nabi besar ini. Bagaimanapun, tiada cara khusus untuk mencapai cita-cita ini, tetapi seseorang yang taat dalam mengikuti jejak-langkah Nabi mungkin lebih berjaya mendapat peluang ini.

Menjawab soalan tersebut, Sheikh Muhammad Iqbal Nadvi, Pengarah dan Imam di Al-Falah Islamic Center, Oakville, Ontario, Canada, menyebut:

Anda boleh bercita-cita untuk mendapat keberkatan ini, tetapi tiada cara khusus untuk melihat Rasulullah (SAW) dalam mimpi. Hanya satu nasihat yang saya boleh berikan: lebih banyak anda mengikuti Sunnah Rasulullah (SAW), lebih banyak peluang anda ada untuk melihat Rasulullah (SAW)

Satu perkara yang saya mahu jelaskan disini: kita akan hidup dengan berdampingan dengan Rasulullah (SAW) jika kita amalkan Sunnah baginda dalam hidup kita. Jadi, untuk melihat Rasulullah (SAW) dalam mimpi bukanlah matlamat akhir atau matlamat utama orang beriman. Matlamat utama orang beriman ialah untuk bersama-sama Rasulullah (SAW) dalam Syurga.


Terjemahan daripada: Wishing to See the Prophet in a Dream
http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?cid=1119503548028&pagename=IslamOnline-English-Ask_Scholar%2FFatwaE%2FFatwaEAskTheScholar

Penterjemah: zulyusoff